'Kami tinggal di sini bukan kerana desakan hidup'


Taiping: "Kami bukan hidup melarat, kami masih mampu," kata Noriah Che Din yang tinggal bersama anaknya di pondok kayu di tepi tasik bekas lombong di Mukim Kampung Paya, Kamunting, di sini, sejak dua bulan lalu.
Noriah, 54, yang diserang angin ahmar dan mempunyai penyakit lain seperti darah tinggi memerlukan penjagaan rapi anaknya, Rosinan Anuar Rosdi, 30, yang terpaksa berhenti kerja sebagai buruh kontrak bagi menguruskannya.
Noriah berkata, keputusan mereka dua beranak menetap di dua pondok berasingan yang didirikan di tanah yang dibelinya sejak lima tahun lalu itu bukanlah disebabkan desakan hidup sebaliknya menunggu pembinaan rumah di tanah berkenaan siap.
"Saya disahkan mengidap angin ahmar sejak dua bulan lalu iaitu sejurus dipaksa keluar oleh tuan rumah disebabkan masalah dalaman. Namun untuk mencari rumah sewa baru dalam masa singkat bukan mudah selain memerlukan bayaran deposit yang tinggi.

"Tambahan pula di mana lagi rumah dengan kadar sewaan sama seperti sebelum ini iaitu RM200 sebulan. Jadi kami memutuskan menetap di sini sementara menunggu Rosinan Anuar menyiapkan pembinaan rumah kami sedikit demi sedikit.


"Mujurlah anak saya mahir bertukang melalui pengalaman bekerja sebelum ini. Kami juga masih ada pendapatan melalui ladang kelapa sawit seluas 2.02 hektar yang dipajak daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)," katanya ketika ditemui di pondok kediamannya semalam.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata, selain Rosinan Anuar iaitu anaknya yang ketiga, enam lagi anaknya sudah bekerja yang sekali gus membuatkan dia ada kalanya turut menerima wang belanja daripada mereka.
"Enam daripada semua anak saya tinggal di sekitar Taiping cuma disebabkan keadaan tertentu saya tidak dapat tinggal bersama mereka. Namun hubungan saya dan anak-anak masih baik dan selalu juga mereka berkunjung menziarahi saya di sini.
"Justeru saya menafikan dakwaan banyak pihak mengenai kesempitan hidup yang dialami sehingga memaksa kami tinggal di sini seperti berita yang tular di media sosial," katanya.

NORIAH menghuni pondok kayu di tepi bekas lombong bersama anaknya, Rosinan Anuar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NORIAH menghuni pondok kayu di tepi bekas lombong bersama anaknya, Rosinan Anuar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Noriah berkata, nasib keluarganya juga mendapat perhatian Pemangku Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Mohd Kamaruddin Abu Bakar yang mengunjungi pondok didiaminya serta menawarkan alternatif bagi membantunya dalam pembinaan rumah.
"Saya ditawarkan untuk tinggal di PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) berhampiran, namun dengan syarat harus melepaskan pemilikan tanah lombong ini dan saya masih memikirkan sama ada untuk menerima atau menolak tawaran itu," katanya.
"Selain itu, terdapat juga beberapa NGO (badan bukan kerajaan) yang tampil mengusahakan bantuan yang bakal menyusul kepada saya termasuk bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.